tips memancing

http://atur.tripod.com/PETUA.htm


Trip Lubuk Kapal Karam : Tips Memancing Kerapu


Sempena trip ke lubuk kapal karam pada 24hb Januari nanti, ikuti tips untuk menewaskan ikan idaman…KERAPU….
Kerapu merupakan satu spesis ikan yang paling digemari dan sentiasa menjadi buruan para pemancing. Ia dianggap sebagai satu simbol kejayaan bukan kerana aksinya semata-mata tetapi kerana isinya yang sedap, sangat susah didapati dan amat bernilai tinggi di pasaran.
Habitat dan Sifat pemakanan:
Ikan yang sering dijumpai di kawasan laut yang berstruktur ini susah didapati kecuali di sesetengah lubuk yang amat jarang dikunjungi oleh nelayan dan pemancing. Jika kita berjaya menjerat sekumpulan kerapu, ini bermakna lubuk itu masih dara atau telah lama tidak dikacau oleh nelayan atau pemancing.Pemangsa yang kelihatan bersifat pemalas, ‘berat perut’ dan bergerak lemah longlai itu menghabiskan banyak masa bersembunyi di kawasan berstruktur seperti kapal karam atau karang. Ia gemar menyambar mangsanya dengan rakus dan kemudian membawanya secepat mungkin masuk ke struktur atau lubang yang menjadi kediamannya. Oleh itu, pemancing yang berjaya menewaskannya dalam saiz besar dianggap telah berjaya memperolehi salah satu lesen memancing yang amat dibanggakan.Dari segi sifat pemakanannya, kerapu bolehlah dikatakan spesis ikan yang paling tidak cerewet. Semua jenis umpan yang sesuai dengan seleranya akan diterkamnya tanpa banyak memilih. Kerapu biasanya aktif memburu mangsa pada waktu malam. Tetapi adakalanya pada waktu siang hari, khususnya awal pagi dan lewat petang, turut menjadi waktu yang paling sesuai untuk menjeratnya.
Dari segi bentuk badan dan sifat pemakanannya, kerapu telah diciptakan sebagai spesis pemangsa yang suka menyerang secara rakus, kasar dan mengejut. Ia mempunyai tenaga yang agak luar biasa untuk menyerang dan membunuh dengan begitu cepat dan singkat, tetapi ketahanan sewaktu menentang joran tidaklah berpanjangan sebelum ia lemah terkulai dan tewas.Oleh itu, untuk memancing kerapu dengan efektif, para pemancing haruslah menggunakan peralatan yang benar-benar sesuai, iaitu terdiri dari jenis yang kuat dan kasar. Kejayaan menewaskan kerapu daripada meluru masuk ke kawasan yang berstruktur dari peringkat awal ‘peperangan’ adalah penentu kepada kejayaan muktamad menewaskan spesis tersebut. Justeru itu, para pemancing disarankan agar menyediakan kekili dan joran yang berkekuatan berat yang dijamin dapat menahan asakan awal yang kasar dari kerapu. Persediaan-persediaan alat perang lain seperti tali utama, mata kail dan perambut juga perlulah terdiri daripada jenis yang tahan, kuat dan kasar.